Ikan Goreng Berempah Macam Kedai Mamak | Tips Rempah tersalut cantik
Assalammualaikum, Selamat Datang Ke Blog Cik Orkid.
Kali ni, Cik Orkid nak kongsikan Resepi Ikan Goreng Berempah yang mudah dan sangat sedap.
Sebelum ni Cik Orkid ada kongsikan Resepi Ayam Goreng Berempah di Youtube Orkids Channel, Alhamdulillah Viral dan ramai beri komen "dah cuba dan memang sedap, resepi lain dari yang lain", katanya.
Menarikkan gambar atas ni, cuba tengok serdak-serdak pada ikan tu, buat tak sabar nak makan.
Jom kita tengok Bahan dan Cara buat Ikan Goreng ni.
1 ekor ikan Siakap atau boleh guna apa-apa ikan lain juga seperti ikan kembung, ikan tenggiri, ikan selar dan sebagainya. Jangan ikan joss sudah 😂 hehehe
BAHAN KISAR :
1 biji bawang besar
2 inci kunyit hidup
2 batang serai (tips nak dapatkan serdak yang bertali, potong serai memanjang macam dalam gambar tu sebelum kisar)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu makan ketumbar
1/2 sudu makan jintan manis
1/2 sudu makan jintan putih
Kisarkan kesemua bahan di atas sehingga lumat dan halus.
Ha, sampai jadi pes macam ni. Kemudian, masukkan dalam satu mangkuk besar atau besen agar mudah nak gaul sebati ikan bersama rempah nanti.
Masukkan 1 1/2 sudu makan serbuk kari daging atau serbuk kari ikan, asalkan rempah kari, semua boleh.
Masukkan 1 1/2 sudu makan tepung beras. Fungsi tepung beras ni supaya serdak-serdak ni rangup dan berkerak. Bila makan ikan tu, jadi lebih sedap, garing dan rangup tapi masih lembut isinya.
Masukkan daun kari banyak-banyak, daun kari ni bila digoreng bersama, aroma bau daun kari tu sampai ke rumah jiran paling hujung dia pergi, hehehe... punya wangi dan menyelerakan.
Haaa, daun kari goreng ni boleh makan tau, sedap sangat-sangat. Rangup, garing dan berempah, bila makan tu, macam kerepek yang sedap. Wajib makan daun kari goreng rempah tu nanti tau.
Lepastu, gaul sebatikman semua bahan-bahan dan rempah tadi. Kemudian rasa di hujung lidah, dah cukup rasa masin? kalau belum ada rasa, tambah lagi garam. Kena bagi ada rasa sedap, barulah perapan rempah berasa apabila dimakan.
Kemudian, ambil ikan satu demi satu salutkan dengan rempah, picit-picit, urut-urutkan sekata rempah tu biar kena pada ikan dan tersalut cantik.
Perap selama 10-30 minit, nak perap semalaman pun boleh. Tujuan perap ni supaya rasa rempah meresap masuk dan kekal dalam ikan, memang beza antara perap dan tak perap.
Beza pada rasa dia, bila perap lama, terasa betul rempah tu dalam isi ikan, bukan sekadar sedap diluar ikan saja malahan sampai ke dalam sedapnya apabila diperap.
Ada yang tanya, kalau nak cepat, nak terus je goreng, taknak perap, boleh ke?
Boleh. Rempah tetap tersalut cantik dan sedap, cumanya... sedap diluar saja la. Rempah tak serap masuk sampai dalam ikan bila tak perap.
Tips semasa digoreng, kena banyakkan bersabar, ikan goreng berempah ni ambil masa nak masak garing, kena masak lama, api pun jangan kuat sangat,takut-takut ikan tak garing lagi rempah dah hangus.
Kena pandai adjust api ok. Dah garing dan kering rempah tu, baru terbalikkan ikan, masak lagi sebelah.
Kalau taknak terbalikkan, boleh goreng cara "deep fry".
Ikan Goreng Berempah dah pun siap! Boleh terus dihidang panas-panas.
Makan begitu saja pun dah sedap, apatah lagi kalau ada kuah kari kosong dan sambal belacan lagi bertambah-tambah sedap.
Alhamdulillah, selesai perkongsian Resepi Ikan Goreng Berempah atau Masalah Fish Fry Recipe.
Bagi yang nak tengok cara masak live, boleh juga tonton di Video Youtube Orkids Channel.
Atau Klik saja Link ini :
Terima Kasih sudi baca resepi di blog Cik Orkid, Selamat Mencuba.
Dah cuba jangan lupa kongsi feedback ye 😘
0 Comments